Thursday, May 14, 2009
....:tafsiran semalam:....
Bukan hanya sekadar menduga
resah yang menyinggah
mengungkap segala..
mengiyakan tafsiran minda
namun rentetan sejarah semalam..
tidak lagi ingin kuulang
aku bukan lah hamba emosi perasaan
akal waras terus mengungkap tegas.
Tetapi wajaran dari tindakan
Teguhkan tugu iman
Yang masih bersisa baki
Usah dibakul sampahkan
Kerana pengalaman..
Guru yang paling berkesan..
Hari kemudian entah bagaimana gambaran
Tak mampu dibayangkan..
Jangan hanya menyalahkan
Setiap persembahan
Walau kesilapan terserlah terang
Kautlah pengajaran
Dengan jemari iman
Moga tiada keciciran...
Biarlah mereka..
Terus dengan andaian
Itu bukan halangan
Kerana tuhan amat dalam pengetahuan
Minda sedarku optimis berbisik
Walau apa maudu’nya
Walau variasi tariqnya
Natijahnya tetap sama
Kita rasai hari ini...
Dalam kemelut krisis rasa
Aku mencari cebisan redha
Aku mengintai tabir sakinah
Moga untukku temui
Harapan masih ada..
Dan senantiasa ada...
Setiap kisah semalam
Walau tidak lagi ingin ku ungkapkan
Tetapi,
Minda sedarku terus menyimpulkan
Semalam adalah kenangan
Walau pahit untuk dikenang
Untuk di kisahkan
Pada semua...
Tuesday, May 05, 2009
......dia yang saya kenang.....
“Alaa.. saya dah siap tulis” tangan kirinya menghulurkan buku tulisnya.. menunjukkan kepada saya. Hari itu saya berjanji sape yang rajin tulis dan tulis cantik2 saya akan hadiahkan biskut. Saya lihat masing2 begitu bersemangat menulis apabila melihat beberapa bungkusan kecil biskut yang saya tunjukkan. Itu antara cara yang saya lakukan untuk menggalakkan mereka menulis.. cara yang saya tidak lakukan untuk kelas-kelas lain.
Saya pandang sekilas bukunya kemudian saya renung lagi ke wajahnya. Kesian.. simpati saya tumpah.. “Alimi lambat..kawan2 yang lain dah siap awal lagi..Nanti minggu depan ye..” janji itu saya ungkap sekali lagi. Dia angguk akhirnya. “Nanti minggu depan Ustazah kasi kat saya sorang ye..jangan kasi orang lain.” dia berkata kemudian.
“Aah..tapi Alimi kena jadi baik laa..” dia tersengih menampakkan barisan gigi susunya saat saya ungkapkan kata-kata itu. “ Nati minggu depan Ustazah kasi aku sorang..” dia berkata pada seorang murid lain.Ada segaris senyuman pada wajah comelnya.
Loceng berbunyi menandakan waktu saya di kelas itu telah tamat. Saya perlu keluar cepat kerana loceng ini juga menandakan bermulanya waktu saya di kelas lain.
“Ustazah nak angkat buku Ustazah..” Dia mecuit saya..tetapi saat itu buku rekod pengajaran saya sudah berada di tangan seorang murid lain.
“Alaa..” dia mengeluh lagi
“semalam kan Alimi dah tolong Ustazah. Hari ni biar Haris pulak ye” Saya berkata sebelum mengucapkan syukran kepada seisi kelas. Dia angguk. Haris di belakang saya tersengih..alahai budak-budak ni.. saya tersenyum di dalam hati.
Sambil melangkah menuju ke kelas seterusnya saya terus terbayang wajah dia. Simpati saya sering kali melimpah setiap kali melihat wajah itu. Walaupun kadang-kadang geram dengan kenakalannya yang melampau. Tetapi setelah kisah hidupnya terbongkar di hadapan saya dari mulut dia sendiri, bagaikan ada satu kuasa dalam diri saya menghalang saya dari menyakiti dan memarahi dia.
“Ustazah, Alimi jahat..dia pukul saya..”
“Ustazah Alimi tendang saya..”
“Ustazah tadikan Alimi buat kita..”
“Ustazah, Fatin nangis..Alimi buat..”
“Ustazah Alimi curi pemadam orang..”
Aduan2 seumpama itu biasa singgah ke telinga saya setiap kali saya melangkah masuk ke kelas itu.. bukan saya sahaja.Tetapi guru2 lain yang masuk ke kelas itu juga.. saya merenung dia sambil menggamit jemari saya. Dia biasa menggeleng. “Sini jap.. Ustazah bukan nak marah Alimi..bukan nak pukul Alimi.. Ustazah nak tanya je..” saya berkata.
“Tak nak ah..” dia terus berkeras..
“Ustazah, biar saya bawak dia dekat Ustazah” Ada suara dari belakang menawar pertolongan. Saya geleng. “Tak payah. Biar dia datang sendiri”
“Ustazah bantai jer dia tu..”
“Aah Ustazah..pukul jer..”
“Cubit Ustazah”
Suara-suara lain mulai kedengaran.
“Ssshhh.. uskut..” saya meletakkan jari telunjuk di bibir..
“Ustazah kenapa Ustazah tak pukul Alimi tu.. Ustazah takut ye?” Saya membiarkan soalan dari seorang murid yang duduk di kerusi berdekatan saya berdiri itu berlalu tanpa jawapan. Kerana saya punya alasan dan asbab tersendiri yang anak-anak kecil itu tidak bisa mengerti..
“Tak pe laa biar laa Alimi tu.. ok kelas. Sape nak jadi pandai dengar apa yang Ustazah cakap...” saya sengaja mengulang kata2 itu setiap kali masuk ke kelas ini.
Dan seperti biasa hampir semua mengangkat tangan dan berkata. “Saya nak jadi pandai..”
“Ha Alimi nak pandai tak?” Saya cuba menarik perhatian dia..
“Nak..” dia angguk..sambil tersengih.
“Kalau nak pandai Alimi tak boleh kacau orang. Kesian la Alimi buat orang macam tu.. mesti dia sakit tu..kalau tak sakit dia tak nangis tadi.Alimi tak kesian ke?” saya bertanya ketika saya berdiri di sebelahnya.
Dia angguk “kesian..” dia berkata kemudian.perlahan. tunduk. “Lain kali jangan buat orang macam tu lagi ye..” dia angguk lagi.
Tetapi dia tetap dia.. tidak berubah. Kerana selepas itu saya mendengar cerita dari seorang guru lain tentang kenakalan dia lagi. Melampau betul la budak tu.. semua mengeluh. .
Saya tahu kenapa dia begitu..ya, dia jadi begitu bukan salah dia. Kerana dia hanya anak kecil yang baru 8 tahun melihat dunia ini. Dia belum mengerti makna sebuah kehidupan. Belum memahami hakikat yang kita orang dewasa fahami.keadaan yang mencorak dia jiwa kanak-kanak dia.
Pernah dulu..
“Alimi nape pipi Alimi merah ni..” saya bertanya sambil menyentuh pipinya.
Kesan itu begitu ketara kelihatan walaupun kulit dia agak gelap.. bayangkan..
“Mama cubit” Dia menjawab perlahan. Astaghfirullah.. saya beristighfar dalam hati. Apa salah anak ini sehingga begitu sekali si ibu menyakitinya. Anak-anak... mereka tidak pandai menipu. Itu yang saya yakini. Saya terbayang adik2 saya.. mereka tidak pernah di cubit mak dan ayah saya begitu sekali.
“Alimi nakal sangat eh..sebab tu mama cubit..” saya sekadar menduga
“Tak.. papa bagi saya ikut gi kedai..mama tak bagi..”
“Yeke... pastu Alimi nangis tak..?” saya cuba membayangkan. Dia angguk. “Em..mama jahat..selalu pukul..jahat..”katanya kemudian. Saya terkedu.. apa maknanya seandai anak sekecil itu menilai seorang yang bergelar ibu sedemikian. Nauzubillah...
Dan pernah..
Ustazah duit saya hilang.. anak itu menghampiri saya dan menggungkap kata-kata itu. Saya renung wajah redup dia. “Betul?” Saya menduga. “Betul..”
“Alimi letak mana?”
“Tadi ada.. ni dah hilang..” dia memasukkan tangan nya ke dalam kocek seluarnya.
“Berapa?”
“Singgit.. semalam duit hilang jugak.. ada orang curi..” dia memulakan cerita
“Habis tu tak makan la ye?”
“Tak ..” dia geleng.
“lapar tak..”
“Lapar..”
“Ayah bagi berapa duit tiap hari?” Saya ingin tahu
“Singgit..kadang 50 sen..”dia menjawab.
“Pastu beli ape?”
“Beli kueh..”
“Kenyang tak makan kueh?”
Dia geleng. Hati saya terasa sayu.. adik2 saya jauh lebih beruntung dari dia. “balik sekolah terus makan ke? Balik mak dah masak?” Saya tanya lagi. Waktu itu hanya saya dan dia je berada di dalam kelas kerana semua murid lain telah keluar rehat.
“Tak.. mama dah balik sabah..” katanya.
“Kenapa?”
“Papa marah mama. Papa pukul mama.. mama nangis.. saya tengok. Papa pukul macam ni..” dia tunjuk gaya. “Dengan tali pinggang”. Sambungnya. Astagfirullah.. saya beristighfar di dalam hati. Bapa jenis ape macam tu..suami jenis ape macam tu.. Alhamdulillah kami adik beradik jauh bernasib baik. Kami tidak pernah menyaksikan mak di marah oleh ayah apatah lagi dipukul oleh ayah..
“Alimi ada adik?” Dia geleng .. “abang?” dia geleng lagi?
“Saya sorang-sorang je.” Katanya kemudian.. oo anak tunggal. Saya berkata dalam hati.
Kesian dia.. dalam usia yang sebegini muda sudah menyaksikan keganasan rumahtangga. Air mata saya hampir tumpah seiring dengan belas yang melimpah.
Banyak lagi kisah hidupnya terbongkar hari itu.. dan sejak itu saya semakin mengerti.. kenapa dan mengapa dia jadi begitu. Saya juga makin memahami... peranan ibu bapa dalam mencorak anak-anak. Ibu bapa sebagai rolemodel.. anak-anak ibarat kain putih. Amanah ALLAH kepada ibu bapa. Saya optimis membuat kesimpulan,sikap yang setiap anak tunjukkan di sekolah mencerminkan situasi yang mereka hadapi di rumah. Kanak-kanak bukan seperti orang dewasa yang pandai menukar watak di setiap tempat yang mereka berada. Kita sendiri pun sukar untuk mengebek di di kandang kambing dan mengaum di kandang harimau. Gelora dan badai jiwa terserlah jua kekadang.
Itu cerita lama. Cerita hari ini berbeza. Rasa satu kelainan bila dia tiada. Tiada lagi suara yang paling bising di kelas. Tiada janji ingin menjadi baik yang sering dia ungkapkan kepada saya...”ustazah,saya nak jadi baik hari ini..”
Tiada lagi wajah yang sering bertembung dengan saya di mana-mana(sebab dia suka ke luar kelas, tak boleh duduk diam)
Alimi tak datang? Tanya saya pada seisi kelas ketika melihat tempat duduk dia kosong. Tiada beg diatas kerusi. Seisi kelas agak tenang tenteram tanpa kehadirannya. Tiada yang mengeluh, mengadu dan menangis sekerap biasa.
Dan seminggu selepas itu nama dia di panggil GPK HEM selesai sahaja sesi perhimpunan pagi isnin. Bukan kali pertama nama itu di panggil. Sudah banyak kali. Dan dia pernah didenda berdiri di hadapan semua murid ketika sesi perhimpunan. Tetapi dia tiada hari itu. Tak datang sekolah lagi. Saya menyuarakan kehairanan pada kak Bie di sebelah. Pelik la tak datang budak tu. Biasa dia rajin datang.. sebelum ini pernah dia tidak datang sekolah dan saya pernah bertanya.. “Alimi demam ke?” Dia geleng. “Papa tak kasi datang sekolah”. Itu cerita dia. Saya hairan lagi. Kenapa la tak bagi anak datang sekolah.. tapi saya cuba bersangka baik. Mungkin ada hal kot..tak dapat hantar dia..
Minggu lepas saya masuk ke kelas dia. Soalan pertama saya sama seperti yang saya tanya minggu sebelumnya. “Alimi dah kena tangkap ngan polis..jahat sangat.” Ada suara itu menjawab persoalan saya. “issh.. tak baik cakap macam tu..”saya berkata. murid itu tersengih. “Ustazah,Alimi dah pindah..” ada suara lain pula kedengaran. “Haah..dia dah pindah..dia bagitau saya..” suara seterusnya seolah bersahutan. Semua ingin menjawab. “Dia pindah sekolah lain..” “ sekolah cina...” “tak..sekolah ni..” “sekolah tu..” bermacam-macam jawapan.
“Dah..” saya menghentikan jawapan2 dari mereka. Dalam hati saya mula tidak mengerti apa yang saya rasa saat itu. Saya tidak dapat tunaikan janji saya. Di dalam beg saya masih lagi ada sebungkus biskut yang saya sediakan untuk dia. Untuk menunaikan janji saya. Sejak minggu lepas lagi saya bawa. Tetapi dia tiada. Saya sedikit terkilan menenangkan semua yang berlaku.. Maafkan Ustazah..Alimi.. saya berbisik di dalam hati. Ada sendu yang saya tidak mampu ungkapkan. Sayangkah saya dengan budak yang paling nakal itu..atau saya sekadar bersimpati dengan kisah hidup dia.. entahlah.. sukar untuk saya tafsirkan. Yang pasti perasaan ini tidak saya rasai saat berhadapan dengan adik2 sendiri. “ Anggap murid-murid itu macam anak sendiri..” teringat saya kata2 yang pernah pensyarah saya tuturkan satu ketika dahulu. “Macam adik laa..”ada suara menyampuk ketika itu. “Ish jangan la anggap macam adik.. kalau tak boleh anggap mcam anak, anggap macam anak buah.. boleh??” Pensyrah itu berkata lagi. Lain ek sayang kat adik dengan anak?? He2..saya bertanya teman di sebelah, dia jungkit bahu. . tersenyum sama.
Apapun, saya titipkan doa..buat dirinya.. moga dia menjadi insan berguna suatu hari nanti. Saya sengaja tukarkan nama dia di dalam cerita ini... kerana saya ingin dia menjadi seorang yang alim..berilmu.. AMIN..
“Saya suka Ustazah yang ajar bahasa arab..” itu pengakuan dia yang dicerita oleh seorang akak di sekolah. Saya tersenyum.. bukan bangga kerana dia sukakan saya..tetapi gembira kerana dalam jiwa kanak-kanak sedegil dia yang saya kenal, masih ada secebis rasa.. menyedari dan menghargai kewujudan saya dalam episod hidup dia... dan saya tergelak ,tersipu malu apabila akak tu menyambung cerita bicara dia selanjutnya... (rahsia...)he3..alahai..Alimi..Alimi.. ada ke macam tu...
Terlalu banyak kisah dan pengalaman selama lebih dari setahun saya mengenali dia untuk dicoretkan.. insya’ALLAH.. jika di beri izin dan ruang oleh YANG EsA saya akan sambung lagi...di lain masa...
Friday, April 24, 2009
RUANG RINDU....

untaian rindu itu seakan membelenggu
semakin hati di selubung resah
semakin aku terpenjara
dalam sempit dan kejamnya ruang
menghimpit rasa..
usirlah rindu itu..
biarkan ia berlalu
bersama hembusan bayu
itu harapan aku titipkan
bersama rangkaian doa semalam
dan hari ini terus kubisikkan..
kata inspirasi pada diri
KERNA...
rindu itu hanya untukNYA
pada ruang yang kian sempit aku mencelah
kubimbang andai ruang rasa
yang masih tersisa
sirna bersama sebuah harapan
yang pernah dulu aku bangunkan..
rindu itu hanya untukNYA
yang abadi.. pencipta diri ini
aku akur pada bicara hati
walaupun mindaku seakan memungkiri
janji yang kupahat di dalam diri
bukan sekadar tuntunan emosi..
ruang rindu
padaNYA yang satu..
dalam debar aku mengharap..
kiranya sudi rasa itu..
bukan hanya persinggahan
tetapi abadi... mukim di hati
usirlah bayangan itu..
kerana ia hanya sehelai daun kenangan
dari rimbunan memori silam..
pada DIA aku ungkapkan..
kata rindu penuh kehambaan
aku insan kerdil dibalut kekhilafan
mengharap secebis rahmah kasihan
moga maghfirahNYA
hadir menyinari
walau aku sedia menyakini..
kasihNYA tiada bertepi..
tetapi khilaf semalam
seakan bayang-bayang sendiri..
Sunday, February 15, 2009
MENJANA UMMAH GEMILANG
Hidup ini perlukan pengorbanan
Harta,ilmu,jiwa dan raga
Misi tujuan cari keredhaan
Demi menegak syiar Islam
Di dunia jua hari pembalasan
Pentingnya hijrah, jihad dan iman
Di dalam kitab Allah berfirman
Ampun, nikmat jadi ganjaran,
Ikhlas niat kunci kejayaan.
Istiqamah,sabar
Yakin,mujahadah
Teguhkan pegangan Quran dan sunnah
Sempurnakan amanah khalifah tuhan...
Singkaplah kejayaan rasul junjungan
Bersama sahabat,umat Islam
Agungnya sejarah terukir berzaman
Ambillah pengajaran,
jadikan tauladan,
Bersama kita jana kegemilangan.
Mantapkan iman
Kukuhkan perpaduan
Tingkat pengetahuan hadapi cabaran,
Teruskan perjuangan cipta kecemerlangan
Jaga akhlak, hindar kemaksiatan
Umat Islam pasti gemilang...
Akidah Pembentuk Jati diri Cemerlang
Bila akidah teguh di hati
Kenal diri, kenallah Ilahi
Akhlak terpuji jadi amalan
Segala tindakan berlandas iman
Basah lidah memuji Allah
Tenanglah hati dalam iman...
Tabah jiwa tempuh halangan
Yakin setiap janji tuhan
Cemerlang akidah cemerlang jati diri
Takwa dan iman subur di hati
Kita hanya khalifah di bumi
Menunggu saat akan kembali
Bila akidah teguh di hati
Maksiat di jauhi
Mungkar yang meraja
Bisa di hindari
Insan cemerlang
Menginsafi diri
Sukar dipengaruhi
Tega diuji
Hanya tawakkal jadi bekalan
Setelah berusaha sepenuh hati
doa dan harapan
pada Ilahi
hanyalah Dia Maha Memberi
hanyalah Dia Maha Mengerti
ayuhlah semua
kita suburkan
akidah yang utuh
di dalam diri
kerana akidah
sumber keyakinan
kita tabah tempuh halangan...
kita kuat hadapi rintangan...
solat

Bermula sebelum terbitnya mentari.
Ada tuntutan ada kewajipan
Untuk kita umat islam
5 waktu sehari semalam
Tunaikan solat pada waktunya
Usah lalai usah leka
Solat itu pendidik jiwa
Sabar dan redha hadapi segala
Di dalam al Quran Allah ingatkan
Solat itu benteng kemungkaran
Rasul juga turut menguatkan
Solat itu tiang agama
Menjadi saksi di akhirat sana
Hanya solat pembela kita
Solat jua penghubung kita
Dengan khaliq sang pencipta
Sujudlah kita rasa kehambaan
Pohon lah doa penuh pengharapan.
Berdoalah kawan minta keberkatan
Sepanjang hidup kita di dunia
Kita berserah hanya pada Tuhan.
Dia penentu segalanya.
Saturday, February 14, 2009
NikMaT keSeDaRaN
Aku sendirian melayan perasaan
Sedih dan sayu bagai bercantuman
Realiti hidup tak seindah diangan
Damai ku seru dan kunjung datang
Sedang..
Resah ku usir kian bertandang
Pada siapa harus dipersalahkan
Setiap ketentuan bukan permintaan
Tetapi hakikat sebuah kehidupan
Tiada noktah makna perjuangan..
Selagi roh dan jasad setia bergandingan
Jangan bersedih sayang...
Kesedihan takkan mengembalikan yang hilang
Kesedihan bukan jalan penyelesaian
Bisikan itu bagai kedengaran..
Bersama desiran angin tenang
Tuhan menguji dengan tujuan
Derita perjuangan bukan bebanan
Tetapi nikmatnya sebuah pengembaraan...
Kerana Dia maha mengerti insan
Tatkala dugaan menjengah perjalanan
Mengapa cepat takdir di persalahkan
Mengapa cepat terluahnya keluhan
Sedang kita dibekal panduan
Quran dan sunnah itu pedoman
Lantas istighfarku terucap perlahan
Terasa kerdilnya diri dihadapan tuhan
Betapa aku asyik mengira bebintang
Tanpa peduli langit yang menjadi hamparan
Mengapa musibah setiis kuhitung ku bilang
Sedang nikmat yang mengalir sering ku abaikan
Air hangat deras berguguran
Saat kupejam mata yang bergenang
MENANGISLAH SAYANG..
Suara itu terus membisikkan
Kerana itu tujuan air mata diciptakan
Moga tidak dibakar di hari kemudian
Kerana tuhan telah menjanjikan
Titisan itu bisa memadamkan
Api neraka di hari penentuan
Suara hati kusambut girang
Kalimat syukur terlafaz berulang
Nikmat kesedaran tiada tandingan
Hati yang resah menjadi tenang
Saturday, February 07, 2009
ayah....
YA RASULULLAH
Saat lahirnya insan pilihan
Muhammad terpuji itu gelaran
Kekasih ALLAH,rasul junjungan
lahirnya nabi penuh keajaiban
Api sembahan hapus terpadam
Bukti baginda pembawa kebenaran
Dinnullah.. dinnul islam...
Ajaran baginda bawa perubahan
Tersingkap sudah tabir kegelapan
Bangsa arab bangkit dari kejahilan
Cahaya iman penuhi alam...
Ya Rasulullah....
Sabarnya dirimu hadapi tohmahan
Tabah hatimu hadapi tentangan
Ejekan ,tuduhan kau harung tenang..
Ya rasulullah..
Dirimu tetap teguh pendirian
Walau ditawar bergunung kekayaan
Pangkat darjat bukan harapan
Kerana matlamat demi Islam
Bukan senang menyeru kebaikan
Itu hakikat sebuah perjuangan...
Redha Allah kau dambakan
Basah lidahmu alun pujian
dirimu tetap pohon ampunan
Walau dijanji pelbagai kenikmatan
Ayuhlah sahabat kita singkapi
Hebatnya rasul tidak terlawan
Di medan perang dialah pahlawan
Pemimpin seluruh umat islam
Sirahnya agung tiada tandingan
Mulia akhlak jadi sebutan
Kerana baginda acuan al quran..
kerana baginda acuan al quran..
Friday, January 23, 2009
bingkisan buat bonda tersayang..

Album : Damai
Munsyid : Hijjaz
http://liriknasyid.com
Tertanam naluri keibuan amat mendalam
Di jiwa insan yang mendambakan kebahagiaan
Perjalananmu penuh rintangan
Kau titipkan kasih sayang..Sejujur pengorbanan
Mendakapimu penuh girang...Bak si kecil kehilangan..Kau insan penyayang
Betapa ku merindu..Lembutnya belaian ibu..Membuatku terlena
Ku pastikan dikau aman..Dikurnia sejahtera..Tak ku lupakan
Di wajahmu berolak tenang,Debar di dada kau rahsiakan,Ku pastikan dikau aman
Dikurnia sejahtera..Tak ku lupakan..Di saat kita berjauhan
Rasa ingin ku berlari..Mendakapimu penuh girang..Bak si kecil kehilangan
Tiada aku tanpa ibu..Hanya (kau) satu didunia..Bertakhta dikau dijiwaku
Kau lah ibu yang tercinta..Kau insan pengasih..Betapa aku mengharap
Hadirnya restumu ibu..Membawaku ke syurga..Bersemi belaian kasih sayang nan berpanjangan
Darimu insan yang mendoakan kebahagiaan anak-anakmu
Oh, Ibu..
Lagu : Manis Helma (Hijjaz Records)
Lirik : Alif Lam Ra (Gurindam Entertainment)
Susunan Muzik : Along Exist, Isman Isam
Penerbit : Zahid, Isman Isam
Hakcipta : Hijjaz Records
